KERTAS CADANGAN PENGWUJUDAN SKIM PERKHIDMATAN JURUTEKNOLOGI MAKMAL UNIVERSITI DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM

KERTAS CADANGAN PENGWUJUDAN SKIM PERKHIDMATAN JURUTEKNOLOGI MAKMAL UNIVERSITI DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM.

Kertas kerja ini dikemukakan untuk meminta pihak Agensi Pusat mengkaji semula kedudukkan, peranan dan tanggungjawab Pembantu Makmal yang sedang berkhidmat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan mempertimbangkan cadangan skim baru iaitu Skim Perkhidmatan Juruteknologi Makmal Universiti Gred C5/C4 untuk menggantikan Skim Perkhidmatan Pembantu makmal Gred C7/C6.

Sejak tahun 80an hingga kini, beberapa memorandum telah dikemukakan oleh Kesatuan Pembantu Makmal lPTA kepada pihak pentadbiran Universiti, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada permulaannya pihak pentadbiran IPTA tidak menganggap permohonan yang dikemukakan pada tahun 80an itu sebagai satu keperluan yang mendesak kerana pembangunan dan kepesatan teknologi ketika itu tidak serancak dan sehebat pada masa kini.

Pada awal tahun 1999, Persatuan Penolong Pegawai Sains IPTA dengan kerjasama Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti IPTA Malaysia (GAKUM) telah membangkitkan semula isu yang sama. Pada awal tahun 2000, pihak persatuan telah menghantar satu lagi memorandum kepada pihak Agensi Pusat dan pihak IPTA.

Jawatankuasa Naib Canselor IPTA pada 6.4.2001 telah membincangkan kerjaya dan pengiktirafan Pembantu Makmal di IPTA. Jawatankuasa bersetuju bahawa pelaksanaan terhadap pengwujudan skim perkhidmatan . baru Juruteknologi Makmal Universiti bagi menggantikan skim perkhidmatan Pembantu Makmal di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu disegerakan berdasarkan kepada keperluan asas dan perkembangan teknologi semasa yang meningkat di IPT A. Keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Naib Canselor IPTA telah diperakukan secara prinsip dalam Mesyuarat Pendaftar-Pendaftar  IPTA pada 5.6.2001.

Permohonan dan cadangan untuk mewujudkan skim perkhidmatan Juruteknologi Makmal Universiti perlu dilihat dari perspektif keperluan perkembangan kemajuan teknologi yang pesat dan penggunaan peralatan canggih di makmal-makmal IPTA.

Dasar Kerajaan Menuju Wawasan 2020

Peningkatan dalam kerjaya Pembantu Makmal adalah wajar dan selaras dengan dasar kerajaan bagi mencapai Wawasan 2020 yang memberi penumpuan terhadap sektor sains dan teknologi serta penyelidikan R & D di dalam dan luar negara.

IPTA perlu membuat persediaan dan perancangan teratur selaras dengan dasar pendidikan untuk melahirkan pelajar mengikut nisbah pelajar sains dan sastera 60:40. Dengan itu peningkatan dalam bilangan serta kemahiran tenaga profesional dalam bidang sains dan teknologi adalah menjadi keperluan mendesak.

Peranan IPTA  

Demi menuju kearah cita-cita negara dan meningkatkan kualiti pendidikan, setiap IPTA harus memainkan peranan sebagai universiti perdana ke arah kecemertangan dalam perkhidmatan, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Oleh yang demikian usaha untuk memajukan bidang sains dan teknologi supaya graduan yang dihasilkan bermutu tinggi serta dapat membantu perkembangan negara perlu diberi perhatian. Memandangkan IPTA memerlukan staf yang mempunyai asas dan berkemahiran tinggi untuk mengendalikan . peralatan yang berteknologi terkini, pengambilan calon lepasan sekolah tidak lagi sesuai untuk ke jawatan tersebut.

Bidang Tugas dan Tanggungjawab Pembantu Makmal di Universiti

Peranan Pembantu Makmal di IPTA jelas kelihatan perbezaannya dengan Pembantu Makmal di sekolah memandangkan mereka terlibat dalam pengajaran, penyelidikan dan perundingan. Antara aktiviti yang dijalankan oleh mereka setiap hari:-

Pengajaran

Pembantu Makmal IPTA bertanggungjawab dalam membantu pensyarah untuk penyediaan bahan peralatan dan membuat kajian/ujikaji amali sebelum pengajaran amali diadakan serta memberi tunjuk ajar serta penerangan pada mahasiswa mengenai kaedah-kaedah dalam bentuk teori dan amali.

Penyelidikan

Bertanggungjawab bersama-sama pensyarah dalam penyelidikan termasuk mengendali dan menganalisa penemuan-penemuan serta menjalankan kajian dan membuat kerja lapangan (field work) serta penerbitan.

Perundingan

Membantu  pensyarah yang menjalankan program-program berkembar dengan universiti luar dan pihak swasta sejajar dengan kehendak pasaran dan negara. Pembantu Makmal di IPTA juga mempunyai tugasan dalam pelbagai bidang pengkhususan dan kemahiran seperti ICT (Media, Kejuruteraan dan komputer) serta mengendalikan peralatan-peralatan canggih yang bernilai jutaan ringgit. (Contohnya; Mesin XRD, CNC)

Setiap Pembantu Makmal di IPTA bertanggungjawab memastikan pentadbiran dan keselamatan makmal-makmal (keselamatan fizikal, peralatan dan manusia) terurus dan dikawal selia.

Pembantu Makmal di IPTA sentiasa perlu melengkapkan diri mereka dengan membaca, membuat rujukan teknikal, mengikuti seminar dan bengkel dari masa ke semasa supaya kemahiran dan kepakaran yang tertentu dapat ditimba oJeh mereka demi mengekal dan menjaga kualiti penghasilan di makmal-makmal IPTA. Mereka juga bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung dalam usaha mengekal dan meningkatkan kualiti akademik di Universiti.

Peningkatan penawaran kursus akademik, pertambahan pengambilan pelajar, pengenalan kepada penggunaan peralatan baru di makmal turut menyebabkan tugas mereka semakin bertambah dan rumit.

Pembantu Makmal di IPTA perlu bekerja selama 8 jam dalam sehari sementara Pembantu Makmal di sekolah hanya bekerja setengah hari mengikut sesi sekolah pagi atau petang. Waktu bekerja bagi Pembantu Makmal di IPTA juga tidak terhad, penyediaan bahan-bahan di makmal memerlukan masa tambahan selain diperlukan untuk kerjakerja lapangan (field work) dan ini termasuk pada cuti am. (Contoh: Pembantu Makmal di Jabatan Geografi perlu memantau kajicuaca pada hari Ahad.)

Bilangan, jenis dan peralatan makmal yang harus dikendalikan dan penglibatan oleh Pembantu Makmal IPTA _yang luas dalam pengajaran, penyelidikan dan perundingan jelas menunjukkan mereka tidak wajar disama tarafkan dengan Pembantu Makmal di sekolah.

Pembantu Makmal Universiti luar negara dikategoriKan sebagai staf separa profesional kerana penglibatan mereka di dalam menjalankan tugas-tugas pengajaran, penyelidikan dan perundingan.

Perkembangan dalam sektor pendidikan tinggi pada masa hadapan tidak menjamin IPTA dapat menyediakan keperluan sebagaimana yang diperlukan oleh negara.  Permintaan kepada pendidikan tinggi yang berkualiti terutama dalam bidang sains dan teknologi akan bertambah.  Tambahan pula dengan terciptanya teknologi-teknologi baru serta adanya persaingan hebat daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta, setiap IPTA perlu mempunyai daya saing yang tinggi serta melengkapkan diri untuk menempuhi era globalisasi.

Agensi Pusat diminta mengkaji dan meluluskan permohonan IPTA bagi mengwujudkan skim baru yang dinamakan Juruteknologi Makmal Gred C5 & C4

Pembantu Makmal yang gagal setelah tiga kali percubaan dalam ' Bridging Program' akan kekal sebagai Pembantu Makmal (Khas Untuk Penyandang).  Apabila mereka bersara, jawatan tersebut hendaklah secara automatik ditukarkan kepada jawatan Juruteknolog Makmal Universiti.

Kursus Peralihan yang mengandungi 3 peringkat akan dijalankan mulai 2002 bagi melayakkan Pembantu Makmal yang sedia ada dipertimbangkan untuk memasuki skim perkhidmatan Juruteknologi Makmal Universiti.

Adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab pihak IPTA untuk meminta supaya permohonan ini dipertimbangkan oleh pihak Agensi Pusat dan mengambil tindakan sewajarnya demi kebaikan kepertingan Institusi Pengajian Tinggi Awam supaya dapat bersaing dalam melahirkan graduan yang berkualiti tinggi demi mencapai hasrat negara untuk membangunkan bidang sains dan teknologi.

 

Cenderahati turut diberikan kepada pihak-pihak yang telah memberi sokongan dalam persediaan kertas kerja, silabus dan perancangan kelas peralihan (seperti ahli-ahli AJK yang lepas, Ahli-ahli KKAUM, Dekan-Dekan, Ketua-ketua jabatan, Ahli-ahli JLTM , Ahli-ahli Persatuan dan Kesatuan Universiti-universiti lain , staf BSM dan ramai lagi.  Jasa mu akan tetap dikenang

CCM 2.0 EDi - Copyright © 2008 - 2017 Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, MALAYSIA. http://www.um.edu.my